Thursday, September 16, 2010

HIroshima Seperti Dilanggar Garuda

Hiroshima dalam kenangan Cikgu Razak
Berita Harian (Perspektif): Jumaat 1, Disember 1989, hal.1,14
Oleh: Tajuddin Saman


Lebih 40 tahun lalu, seorang anak Melayu tidak pernah menduga akan diberi penghormatan begitu tinggi dan kisah hidupnya yang terbabit dalam peristiwa ledakan bom atom di Hiroshima pada 1945, akan dirakamkan dalam bentuk filem dokumentasi oleh kerajaan Negara Matahari Terbit itu. Kini, filem yang berjudul Hiroshima Dalam Ingatanku sudah diterbitkan dan ditayangkan kepada umum dalam bahasa Jepun di negara itu. Anak Melayu bertuah itu ialah Haji Abdul Razak bin Abdul Hamid, 67, juga dikenali sebagai Cikgu Razak.




Sempena memperingati ulang tahun ke-43 peristiwa ngeri ledakan bom atom di Hiroshima, Perbadanan Penyiaran Jepun (NHK) menayangkan filem dokumentari kisah hidup Cikgu Razak yang kini menjadi Syed Omar Alsagoff dan Nik Yusof Ali, terkorban dalam "letupan kiamat" itu.


Ketika itu Cikgu Razak berusia 20 tahun. Oleh kerana dia satu-satunya insan dari Malaya yang masih hidup dan boleh berbicara mengenai Waga Kokoro No Hiroshima atau Hiroshima Dalam Ingatanku, maka dia adalah khazanah bangsa yang amat bernilai.

Hanya bangsa yang besar tahu menyanjung dan menghormati tokoh serta pemimpin negaranya sendiri. Bertolak daripada penilaian itu, Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan (PSMWP) berusaha mengundang Haji Abdul Razak mencurahkan pidato "pengalaman satu dalam sejuta" itu kepada orang ramai dalam siri Ceramah Tun Dr Ismail (CTDI) ke-VI di Balai Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.



Setiausaha PSMWP, Drs Hanafiah Sudin, berkata sempena siri ceramah itu, PSMWP mencapai lima rumusan dan cadangan, iaitu:
  • Akan membuat salinan alih bahasa filem Hiroshima Dalam Ingatanku daripada bahasa Jepun ke bahasa Melayu
  • Cuba mendapatkan kerjasama Kedutaan Jepun untuk menerbitkan memoir Cikgu Razak untuk disebarkan ke sekolah-sekolah sebagai bacaan umum dan antarabangsa, termasuk di Jepun;
  • Akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada `Malaysian Physicians For The Prevention of Nuclear War' untuk memberikan khidmat bantuan dan penerangan, khususnya kepada murid sekolah dan orang ramai mengenai bahaya nuklear serta langkah positif yang perlu diambil untuk mencegah penciptaan dan rekaan teknologi yang boleh mengancam dan memusnahkan tamadun manusia; dan
  • Akan membuat cadangan kepada Duta Besar Malaysia di Jepun untuk mengadakan Majlis Tahlil/Tafakur di pusara Allahyarham Nik Yusof Ali dan Syed Omar yang menjadi korban bom atom di Hiroshima, setiap kali tibanya fajar 6 Ogos. 
Mengenai Cikgu Razak, kisahnya memang sudah tersebar luas. Antara koleksi buku yang menyorot kisah hidupnya ialah buku Debu Hiroshima karya pensyarah Jabatan Persuratan Melayu UKM, Othman Putih [SIC], yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1987).

Ketika memperkenalkan tokoh itu di majlis CTDI, Drs Hanafiah berkata, pada saat atom meledak, semua jarum jam di Hiroshima terhenti tepat 8.15 pagi, bukan kerana letupan tetapi ia sememangnya terhenti sejak beberapa hari lalu dan tiada usaha memperbaikinya.

Berjuta-juta mata sempat melihat awan tebal berbentuk cendawan raksasa berwarna putih dan ungu menjulang tinggi. Dalam sekelip mata, asap itu menyambar Hiroshima. Manusia bertempiaran lari, berteriak, menjerit kesakitan dan kehausan.

Ekoran ledakan itu, menyusul pula letupan amat dahsyat. Bumi bagaikan bergerak kerana gempa, lantai bangunan kayu tempat mereka berpijak bergegar, bumbung bangunan runtuh dan ranap menyembah bumi.

Cikgu Razak dan Pengiran Yusuf tiba-tiba ditimbuni serpihan kayu. Apabila Cikgu Razak tersedar, dia mendapati alam sekitar menjadi sempit, gelap-gulita, sesak dan mengerikan. Kepalanya luka, berdarah dan menyakitkan. Demikian gambaran 44 tahun lalu.

"Cikgu Razak masih hidup dan sejahtera. Dia sahajalah di antara anak Melayu yang merantau mencari ilmu di Jepun ketika itu yang masih hidup dan dapat membicarakan pengalaman getir itu," katanya.

Sewaktu menceritakan Aku dan Debu-Debu Hiroshima, ingatan Cikgu Razak melayang ke tahun 1943. Kisah menggerunkan itu dihuraikan satu demi satu. Lebih 500 hadirin terpaku.

Kehendak Allah sudah demikian. Waktu bom atom digugurkan, Cikgu Razak dan dua rakannya, Allahyarham Nik Yusof dari Kelantan dan Allahyarham Syed Omar dari Johor, ada di Hiroshima.

Ketiga-tiga anak Melayu itu dihantar ke Jepun oleh tentera Jepun yang memerintah Malaya pada 1943 untuk belajar di Kokusai Gakuyukai, Tokyo (Institut Pelajar Antarabangsa, Tokyo). Pada 1944, mereka ke Hiroshima Bunri Daigaku (Universiti Hiroshima).

Pada 1940-41, sebelum melanjutkan pelajaran ke Jepun, Cikgu Razak menjadi guru pelatih di Sekolah Melayu Ulu Klang. Beliau berhenti apabila Jepun memasuki Malaya pada 1941.

Beliau kemudian dipilih mengikuti kursus bahasa Jepun selama tiga bulan di Sekolah Melayu Francis [SIC] Road (kini Sekolah Rendah Kebangsaan Raja Muda Aziz). Apabila tamat kursus, beliau dilantik menjadi pegawai pelajaran bahasa Jepun dan diminta menyusun sukatan pelajaran sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Pada peringkat awal, Cikgu Razak belajar bahasa Jepun selama enam bulan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka yang menjadi markas tentera Jepun dan di situ beliau serta beberapa rakan, termasuk Tan Sri Eusoffe Abdelcader [SIC] (Hakim), Allahyarham Nik Yusof Ali dan Syed Omar, belajar bersama-sama.

Ketika di Jepun, beliau bertemu dan berkenalan dengan Pangiran Yusoff (bekas Menteri Besar Brunei Darussalam, kini masih hidup). Mereka sering melihat kapal perang pengebom B29 Tentera Udara Amerika Syarikat yang menghujani bom ke atas bandar itu.

Suatu hari, sebuah pesawat Amerika berlegar-legar di angkasa bandar Hiroshima sambil menggugurkan risalah yang bermaksud `Jepun akan hancur jika tidak menyerah segera'.

Risalah itu menimbulkan ketegangan di kalangan penduduk Hiroshima. Pada 6 Ogos, 1945, sebutir bom dengan kepanasan suhunya mencapai 300,000 darjah celsius meranapkan sebahagian besar Hiroshima.

Ketika itu, Cikgu Razak dan teman mahasiswa Universiti Hiroshima sedang mengikuti kuliah matematik manakala rakan lain ada di asrama. Kira-kira jam 8.15 pagi, sebaik sahaja gurunya, Kiyoshi Toda (masih hidup berusia 82 tahun dan menjadi Profesor Pelawat) memulakan kelas, beliau melihat cahaya dari cermin tingkat kelas seperti kilat meluncur laju dan serentak itu, terdengar dentuman seperti halilintar membelah bumi.

Sekaligus, pemandangan ketika itu penuh gebu dan bandar itu seperti di langgar garuda, menjadi padang jarak, padang terkukur.



Cikgu Razak berkata: "Kulit dan badan mangsa yang terkena bom radioaktif, menggelupas seperti udang kena bakar, muka bengkak, rambut dan pakaian terbakar, kalau ada pun, tinggal tali pinggang daripada kulit dan jam tangan sahaja."



Nik Yusuf, kawan karib Cikgu Razak, menjadi mangsa radioaktif dan tidak dapat dikesan manakala Syed Omar yang sempat lari ke Kyoto untuk mendapatkan rawatan, meninggal dunia dua minggu kemudian.

"Ketika inilah baru saya sedar betapa besarnya kuasa dan hikmah Allah, hingga tanpa diduga, saya terselamat daripada bencana malapetaka amat dahsyat dan menggerunkan itu." katanya.

Cikgu Razak dilahirkan di Pulau Pinang pada 1925. Pernah mengajar bahasa Melayu di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (kini Institut Perguruan Sultan Idris).

Pada 1984, iaitu sesudah 44 tahun selepas Jepun menyerah kalah pada 1945, Cikgu Razak diberi penghormatan mengunjungi Jepun. Beliau diberi peluang mengikuti kursus lanjutan bahasa Jepun di Universiti Waseda dan tempat lamanya di Universiti Hiroshima, selama enam bulan.

2 comments:

  1. Nik Yusuf, kawan karib Cikgu Razak, menjadi mangsa radioaktif dan tidak dapat dikesan

    ->kubur Nik Yusuf ada di Hiroshima.

    ReplyDelete
  2. Oh Ya? Dibahagian mana ya di Hiroshima?

    ReplyDelete