Friday, September 17, 2010

Sekilas: Dari Kodiang Ke Jalan Riong

Saya berasal dari Kodiang, saya dilahirkan pada tanggal 9 April 1948. Tetapi setelah menetap ditempat lain sekarang selalu saya pulang untuk melihat kubur bapa, Mohd Saman bin Basir yang terletak di tanah perkuburan Kodiang. Bapa meninggal disuatu hari pada tahun 60. Sesudah pemergian bapa, kenangan zaman lalu hingga kini masih sentiasa berada di dalam kepala saya. Kenangan yang masih utuh ialah menjelang tahun 1960-an, dimana saya dapat merasakan suatu suasana yang masih bersih....

Rumah saya betul di belakang Nat Kodiang (Sabtu). Nat bermaksud pasar di dalam loghat Kedah. Biasanya, dari atas rumah melalui tingkap yang mengadap ke nat, saya dapat melihat orang lalu-lalang. Bagaimanapun, rumah di belakang nat itu, kini sudah tidak ada lagi. 

Nat Kodiang
dscn3957.jpg
Dato' Mukhriz Mahathir juga pernah ke nat Kodiang
Ia telah dirobohkan mungkin se-awal tahun 70-an. Rumah itu dibina oleh bapa saya sebelum tahun 60-an. Ia adalah rumah keluarga kami pada waktu itu. Kami mempunyai telaga didalam rumah.Bapa membikin telaga siap dengan timbanya sekali bagi memudahkan anak cucu yang selalu datang ke rumah mandi tidak payah lagi pergi keluar rumah mencari air. Seperti diketahui ramai, zaman dahulu mana ada air paip seperti sekarang, penduduk bergantung kepada air sungai, tali air, air hujan dan sebagainya untuk menjalani kehidupan seharian

Rumah dibina di bina di atas kerajaan dan ia menjadi tinggalan keluarga. Tapi selepas bapa meninggal dunia, ia didiami oleh abang saya yang bernama Hassan. Agak lama juga abang Hassan (Bang Chan) tinggal di rumah itu. Masa itu dia bekerja sebagai pemandu lori. Dia membawa lori milik tauke cina di Kodiang.

Dan sekarang rumah itu sudah tak ada lagi. Yang tinggal hanya kenangan bersama bapa. Waktu bapa meninggal dunia, dia meninggal seorang balu iaitu ibu tiri saya yang bernama Mak Ku Chik. Beliau berasal dari Anak Bukit, Kedah. Rumah Mak Ku Chik terletak di seberang sungai Pantai Johor-Anak Bukit, tidak jauh dari istana Sultan Kedah sekarang. Setiap kali hendak ke rumah Mak Ku Chik, kami terpaksa memanggil orang di seberang supaya datang mengambil kami di seberang sini. Bila perahu sampai, kami pun naik tiga empat orang dan perahu kayu terus menuju ke rumah anak Mak Ku Chik di seberang sana. Itulah pengangkutan yang digunakan untuk ke Anak Bukit yang terletak tidak begitu jauh dari Alor Setar.

Waktu itu saya tidak tahu kenapa saya bertemu dengan Mak Ku Cik Chik. Tapi apa yang diberitahu kononnya Mak Ku Chik yang menjaga saya pada waktu itu. Mungkin umur saya lebih kurang setahun pada ketika itu. Saya mendapat tahu ibu kandung saya sudah meninggal dunia lebih awal dari itu. Jadi saya tidak terasa sangat kehilangan ibu kerana saya sangat kecil untuk mengingati beliau.

Bila sudah kenal erti hidup sikit, saya mula belajar tentang hidup di Kodiang. Bermain dengan kawan menjadi suatu rutin dulu. Kami selalu beradu "kuat" terutama dalam permainan bolasepak dengan kampung berdekatan. Biasalah ada waktu menang dan ada waktu kami kalah. Tapi ia tidak menjadi hal sangat. Adat permainan memang begitu. Namun begitu kami pantang kalah, kami akan pulun habis-habisan sebelum diumumkan kami kalah. 

Ada satu peristiwa yang saya masih ingat berlaku di nat Kodiang yang akan penuh sesak setiap hari Sabtu.
Seorang pemuda berketurunan Siam telah ditangkap kerana mencuri dinat. Dia telah cuba telan barang yang dicurinya!! Dan dia terus di bawa ke balai polis. Ketika itu Tok Aroff, seorang sarjan (Kalau tak silap itulah pangkat beliau ketika itu - sebelum meninggal dunia) telah memasukkan pemuda tersebut ke dalam lokap. Tok Aroff ni asalnya dari kampung Sanglang. Sebelum dia mati, dia pernah membaca buku saya ini "Autobiografi: Seorang Wartawan dari Kodiang ke Jalan Riong". Saya masih ingat beliau berkata pada saya: "Mintaklah penerbit terbit cepat...kerana aku dah nak mati ni...". Saya sangat bersyukur pada Allah kerana beliau sempat melihat buku itu sesudah ia diterbitkan.
Rentetan pelancaran DARI KODIANG KE JALAN RIONG



Ketika pelancaran buku Dari Kodiang ke Jalan Riong diadakan di depan Sekolah Melayu Kodiang, saya masih ingat bagaimana Tok Aroff datang sendiri dengan sebuah teksi yang disewa hingga ke depan pejabat sekolah. Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Osman Aroff masa itu. Kebetulan pada masa itu, saya bertugas sebagai Setiausaha Akhbar beliau.

Saya juga bersyukur kerana, Datuk Zainol Md Isa, salah seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah masa itu, sanggup melancar buku tersebut melalui Belia 4B Malaysia. Kini Datuk Zainol pun telah meninggal dunia. Juga tidak dilupakan Allahyarham Datuk Hanafi Ramli.

Hadir sebagai juruacara majlis hari tersebut ialah sahabat saya, saudara Aziz Desa, yang kini menjadi orang kuat TV3 dan TV9. Kawan saya yang turut hadir pada tahun 1995 itu seperti saudara Saad Nordin dan beberapa kawan lain lagi.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tan Sri Osman Aroff kerana sudi melancarkan buku pertama saya keluaran DBP (Dewan Bahasa & Pustaka) di Kodiang, tempat kelahiran saya. Izinkan saya memohon maaf kerana mengambil masa yang agak lama untuk mengucapkan terima kasih melalui blog ini kerana menunggu ia disiapkan oleh anak saya.

Saudara Talib Samat
Sebenarnya saya mngambil  masa untuk menyiapkan buku selama lebih 10 tahun. Tulis berdikit-dikit. Maklum saja dulu saya berkerja. Ada masa tulis sikit-sikit, lama-lama jadi bukit juga. Saya hampir patah semangat bila buku ini dikatakan tidak dapat diterbitkan kerana beribu orang menanti buku mereka diterbitkan di Dewan Bahasa & Pustaka oleh seorang pengarang yang hebat. Namun diatas bantuan saudara Talib Samat dan Datuk Jaafar Rahim, ia telah dapat disempurnakan. 



Apabila saya beritahu oleh Allahyarham Datuk Zainol mengenai pelancaran buku "Autobiografi Seorang Wartawan Dari Kodiang Ke Jalan Riong", beliau meminta saya segera memanggil mereka yang terlibat dengan segera. Mereka yang terlibat termasuklah saudara Talib Samat (sekarang pensyarah di Universiti Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak) dan Datuk Jaafar Rahim di Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya sangat berterima kasih kepada kedua-dua sahabat saya ini kerana sudi bersusah-payah bersama saya demi menerbitkan buku ini. 
Seorang lagi yang juga penting ialah bekas orang kuat Dewan Bahasa dan Pustaka - kalau tak silap nama beliau ialah Tuan Haji Johari (mewakili Pengarah DBP). Terima kasih juga saya panjangkan kepada saudara Yunus Said (bekas Timbalan Pengarang Berita Harian) kerana memperkenalkan saya keada saudara Talib.
Pelbagai pancaroba dilalui untuk menerbitkan buku ini, namun tanpa bantuan daripada Allah S.W.T melalui sahabat-sahabat saya ini, tak mungkin ianya akan menjadi kenyataan. 

Begitulah alkisah sebelum buku ini diterbit dulu. Ia memerlukan banyak doa dan membawa banyak rahmat. Ia bukan sekadar sebuah kisah tapi mempunyai mesej yang wajib dijadikan sebuah hiburan dunia yang fana ini. Tidak seorang pun faham mengapa buku ini tiba-tiba menjadi bacaan umum. Sampai sekarang apabila saya membacanya, airmata sentiasa bergenang kerana buku ini adalah sesuatu yang benar dan sentiasa menjadi kenangan saya didalam dunia kewartawanan.
Saya sentiasa teringat bagaimana waktu awal saya menulis dulu, saya tidak ada apa pun didalam tangan, segalanya adalah milik Allah yang Maha Kaya. Sesuatu bukan milik kita sebenarnya. Segala sesuatu milik Allah belaka. Demikian kesimpulan yang simpul daripada buku itu.
Daripada juga kita dibangunkan setiap pagi,  kita panjatkan doa semoga Allah beri pada setiap kita semua keimanan dan ketasbihan disini dan didalam ruang yang abadi. Semoga kita mendapat berkat selamanya.



1 comment:

  1. Asalammualaikum...boleh tak kalau saya nak tahu asal usul kodiang. ?

    ReplyDelete